DARI  MEJA SETIAUSAHA KEHORMAT NUTP CAWANGAN KEDAH                                          
       Salam sejahtera, salam 1NUTP dan salam 1Malaysia kepada ahli-ahli NUTP Cawangan Kedah.                                                                                   
            Sebagai seorang guru, pemahaman terhadap hasrat dan tujuan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, sangat penting bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam sistem pendidikan negara. Ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi manakala pihak majikan terutamanya sektor swasta menyuarakan kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkap¬kan generasi muda dengan persediaan secukupnya untuk bersaing di peringkat global. Justeru, setiap murid perlu menguasai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Mereka juga digalakkan mempelajari bahasa tambahan. 
            Dalam hal ini satu program rintis (bukan dasar) dilaksanakan melibatkan 300 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan KPM pada tahun 2016. (Surat Siaran KPM Bilangan 18 Tahun 2015 mengenai Pelaksanaan Rintis Program Dwibahasa atau Dual Language Program (DLP) dirujuk). Program DLP  memberi pilihan kepada sekolah yang layak sahaja dan sekiranya sekolah itu tidak berminat atau belum bersedia, boleh menolak.
            Kejayaan dan kecemerlangan murid banyak bergantung pada kehebatan PdP guru di dalam kelas. Guru perlu menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan supaya murid-murid mudah memahaminya. PdP yang berkesan akan menghasilkan pelajar cemerlang dengan memperoleh sijil, ijazah dan kelayakan yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.
            Dalam hal ini, guru perlu diberi masa dan ruang yang mencukupi untuk merancang dan menyediakan proses PdP yang berkesan. Guru tidak patut dibebani dengan kerja perkeranian seperti pengisian data yang berulang-ulang dan tugas lain yang tiada kaitan dengan PdP. Bebanan tugas yang berat akan menyebabkan seseorang guru berada dalam keadaan ketegangan (stress). Ketegangan yang berpanjangan boleh mempengaruhi psikologi seseorang guru seperti hilang keyakinan, cepat meradang, agresif serta hilang daya konsentrasi. Ini akan menyebabkan seseorang guru itu kurang bersemangat dan tidak bermotivasi untuk menjalankan tugas. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan antara guru dengan murid dan juga kualiti dalam aspek PdP guru itu sendiri. Ketegangan dan suasana kerja yang tidak memuaskan akan membawa kepada keinginan untuk meninggalkan profesion keguruan. Justeru, tidak hairanlah dewasa ini semakin ramai guru memohon persaraan pilihan. Keadaan ini sekaligus boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion keguruan, akhirnya, secara tidak langsung akan menjejaskan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.  
             Sempena pengumpulan 252 skim untuk kementerian-kementerian yang diwar-warkan dalam bajet dua tahun yang lalu, NUTP mencadangkan satu Gred DG40 baharu untuk golongan guru bukan siswazah. Kini, melalui JPA.BPO(S)324/1 Jld.46(22) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016, Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia, cadangan NUTP dimakbulkan. Untuk yang lain tiada perubahan. Semua penjawat awam akan dapat tambahan 1 KGT pada 1 Julai 2016. Bagaimanapun, terdapat tuntutan lain NUTP yang masih dalam perjuangan, seperti ITP untuk Gred DG41/42 dan ke atas yang perlu dikaji semula, Elaun COLA yang perlu diselaraskan untuk semua negeri dan Elaun GPK dipertingkatkan. NUTP akan terus berjuang!

"BERSATU KITA BERJAYA" 
Yang ikhlas,

(SDR. WANG HENG SUAN, SDK.,AMK.,BKM.) 
Setiausaha Kehormat NUTP Cawangan Kedah

UCAPAN PENGERUSI KPPK CAWANGAN KEDAH
       Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera, salam 1Malaysia untuk ahli-ahli KPPK Cawangan Kedah.
          
            Bertemu kembali dalam buletin Guru Kedah bagi sesi persekolahan 2016. Semoga ahli KPPK terus bersyukur dengan anugerah nikmat Allah serta dikurniakan rezeki dan kesihatan yang baik.
          
            Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah memasuki gelombang ke 2 (2016-2020), dalam tempoh yang sama bagi Tahun 2020 negara Malaysia dalam pelan tindakan Wawasan sepatutnya telah mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Secara hakikinya kita tidak boleh menolak dan bersedia menerimanya.
      
           Setiap cabaran, guru-guru di negeri Kedah wajib menggalas dan menjayakan dasar PPPM, KPM tetapi dasar pendidikan tersebut juga harus diberi pertimbangan kebajikan dan kemanusiaan kepada guru-guru di Kedah khususnya dan di Malaysia amnya. Kebajikan guru dan keselamatan murid bersama-sama diambil kira dan diberi perhatian. Terkini kebanyakan sekolah melaksanakan Program 'Kelas Fajar' agar prestasi GPS sekolah mereka semakin bertambah baik. Bentuk Program Kelas Fajar iaitu murid datang lebih awal seawal 6.30 pagi, guru pun perlu datang lebih awal sebab murid ada di sekolah. Ingat! Guru-guru yang terpaksa dan dipaksa datang awal ke sekolah mereka juga mempunyai anak-anak yang perlu dihantar bersekolah di tempat lain lebih awal lagi. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anak-anak mereka khususnya 'keselamatan' diri, siapakah yang akan bertanggungjawab dan dipersalahkan? Fikir-fikirkan untuk kebaikan kita.

           Kelangsungan daripada itu juga, ia memberi impak kepada waktu rasmi persekolahan akan bermula lebih awal. Program ini akan menyebabkan menjadi ikutan dan teladan pengurus-pengurus sekolah lain. Ini akan menjadi amalan kurang praktikal jika menular ke sekolah lain secara keseluruhannya.

Guru-guru dan ahli KPPK Kedah sekalian, terkini melalui surat edaran dan pekeliling KPM kepada JPN dan PPD masing-masing, bertarikh 7 Mac 2016 sebagai panduan dan makluman untuk semua guru serta pengurusan sekolah telah pun diterima. Marilah kita bersama-sama patuhi dan mempraktikkan demi kebajikan guru-guru di seluruh Malaysia.

Terima kasih. Salam hormat daripada saya untuk ahli KPPK.

Selamat Hari Guru. Terima kasih cikgu. 'Guru Pembina Negara Bangsa'.
Selamat menyambut bulan Ramadhan 1437H  bagi yang beragama Islam.

Yang ikhlas,

(SDR. MOHD FADZIL B. MD ISA, PCK)
Pengerusi KPPK Cawangan Kedah

UCAPAN PENGERUSI & SETIAUSAHA KEHORMAT
·BERSATU        ·INOVATIF        ·DINAMIK        ·PROGRESIF
MISI

  • Merancang dan melaksanakan pelbagai program ke arah melahirkan kaum pendidik yang inovatif, dinamik dan progresif selaras dengan wawasan untuk meningkatkan martabat profesion pendidikan.

  • Melindungi dan memperjuangkan hak-hak kaum pendidik.

  • Menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat yang berkualiti dan cekap.
VISI

Ke Arah Kecemerlangan Profesion Pendidikan
free counter
Perhatian:
KPPK hanya mengurus insurans berikut sahaja iaitu:
    1.Tokio Marine - Skim Diamond Accident Protector/Skim Diamond Accident Protector PLUS
    2. Great Eastern - Livin' Pay/Livin' Pay PLUS/DANA  RESTU/BARAKAH,
    3. Great Eastern - NUTP Health Care (Kad perubatan NUTP),
    4. RHB Insurance - NUTP Health Care (Kad perubatan NUTP),
    5. Etiqa - Skim Takaful Guru
    6. Etiqa - Skim Takaful Warga Pendidik
    7. Great Eastern - Insurans  Group GS624B  (Untuk yang telah beli sahaja)
    8. Tokio Marine - Skim Perlindungan Barangan Isi Rumah



Semua urusan Insurans boleh hubungi dan serah kepada Pusat Perkhidmatan Sungai Petani untuk tindakan selanjutnya.



Didapati ada pihak tertentu yang sedang menggunakan nama NUTP untuk menjual insurans seperti MCIS, AIA dan sebagainya. Diharap cikgu berhati-hati dengan teknik jualan tersebut.



Cikgu boleh menyemak potongan gaji serta tuntutan Perbatuan melalui laman web di bawah:
Klik untuk Semakan Akaun Gaji
Kemaskini pada 31.03.2017